Tips Ziarah Rumah Orang



Salam. Hi!

Semasa berkunjung atau menziarah kerumah orang, pesan mak yang paling saya ingat ialah ‘jaga tingkah laku tu’. Ada banyak lagi senarai pesanan mak, tapi menjaga tingkah laku adalah pesanan yang merangkumi semua aspek untuk menjadi tetamu yang baik.
Adat menziarah atau berkunjung ke rumah orang samada ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga atau rakan sekerja sering dilakukan khususnya oleh rakyat Malaysia ketika musim perayaan atau musim cuti sekolah. Jadi, sebagai panduan untuk menjadi tetamu yang baik dan tidak serik tuan rumah menjemput kita lagi, saya kongsikan beberapa tips dan juga pesanan yang sering kita dengar.

1. Maklumkan kehadiran kepada tuan rumah (RSVP)

Jika kita dijemput ke majlis yang memerlukan kita mengesahkan kehadiran, sila maklumkan samada kita hadir atau tidak. Proses pemakluman ini biasanya kita dengar dengan sebutan RSVP atau dalam Bahasa Perancis Répondez s'il vous plait bermakna sila maklumkan kehadiran (please respond). Atau jika ziarah yang bukan atas jemputan, sila maklumkan juga kepada tuan rumah. Ini penting bagi memastikan tetamu bersedia dengan kehadiran kita dan masa yang kita kunjungi adalah sesuai atau selesa dipihak tuan rumah. Kecualilah kita hendak buat kejutan. Untuk itu, anda perlu buat kajian/survei samada tetamu ada dirumah atau tidak. Takut nanti, kita yang terkejut sendiri.

2. Bawalah buah tangan

Tips dan pesanan ini selalu kita lupa atau pandang remeh. Saya pun dulu-dulu, selalu risau kalau bawa buah tangan, takut tuan rumah tak suka, atau dia tak makan, atau buah tangan nampak murah dan macam-macam andaian. Saya masih ingat, pesan bekas bos saya, katanya ‘kalau balik kampong menziarah orang tua, jangan lupa bawa buah tangan. Biarla sekecil-kecil buah tangan, asalkan ada. Walaupun sesikat pisang yang dibeli di RNR, sedangkan mak dan ayah di kampong, ada sekebun pisang. Takkan sama pisang yang kita bawa dengan pisang dikebunnya, walaupun pada kita ia hanyalah pisang. Kerana ia lambang tanda ingatan kita terhadap mereka’. Sebenarnya, nilai buah tangan itu tidak sepenting mana dimata tuan rumah, tanda ingatan kita untuk menghadiahkan sesuatu kepadanya yang amat bermakna.

3. Berpakaian sopan

Jenis pakaian perlu lah sopan dan sesuaian bergantung kepada hasrat ziarah dan kunjungan kita. Jika ia satu majlis keraian, biasanya ada dinyatakan tatacara pakaian. Manakala jika berkunjung bukan atas jemputan, pakailah pakaian sopan dan bergantung kepada sensitivity tuan rumah tersebut.

4. Memberi salam dan mengetuk pintu

Setelah sampai di rumah yang dikunjungi, jangan lupa memberi salam jika tuan rumah beragama islam atau bersahut ‘Hello’ bagi agama lain. Jika rumahnya besar dan dikhuatiri tidak dengar, tekan saja loceng atau mengetuk pintu. Tindakan ini sebagai memaklumkan ketibaan kita kepada tuan rumah. Pernah orang berpesan dengan saya, jangan terhendap-hendap di tingkap untuk mengintai tuan rumah ada atau tidak. Boleh dibuat jika terpaksa, cuma kurang manis dipandang.

5. Berborak mesra. Lupakan seketika telefon bimbit

Tujuan utama kita menziarah kerumah orang, adalah untuk bertanya khabar dan mengeratkan silaturahim dengan tuan rumah. Jadi, ambillah kesempatan ini untuk berborak mesra dan bersembang dengan tuan rumah. Lupakan telefon bimbit kita seketika dan jawab panggilan atau membalas mesej yang penting dan perlu sahaja.

6. Jaga tingkah laku anak

Bagi yang telah berkeluarga dan mempunyai anak dan membawa khususnya anak kecil ke rumah orang, kita sebagai ibu bapa perlulah pantau dan jaga tingkah laku anak kita. Walaupun, kadangkala kita dengar tuan rumah kata ‘tidak apa…’, tapi janganlah kita jadikan katanya sebagai lessen untuk kita membenarkan anak-anak membuat apa sahaja. Seeloknya, sebelum menziarah, pesankan kepada anak-anak supaya jaga tingkah laku dan nyatakan apa yang perlu mereka buat dan apa yang tidak boleh mereka lakukan. Seperti mak-maka kita pesan pada kita semasa kita kecil-kecil dahulu.

7. Jangan Merayau Dalam Rumah Orang

Walaupun ia merupakan kunjungan pertama kerumah tuan rumah semasa jamuan masuk rumah baru atau ‘house warming’, cuba elakkan daripada merayau sekitar ruang dalam rumah. Namun, jika dijemput oleh tuan rumah, apa salahnya. Ruang yang semestinya boleh kita pergi adalah tandas. 😊

8. Jangan berkunjung lama

Ini juga merupakan salah satu pesanan mak yang saya selalu ingat. Tentang tempoh masa semasa kita menzirah dan berkunjung. Sebaiknya jangan lama-lama. Dikhuatiri menyusah dan membebankan tuan rumah. Terutama sekali kalau kita menziarah melawat orang sakit. Asalkan telah sampai hasrat dan niat untuk kita menziarah tuan rumah, ia sudah memadai dan bolehlah kita beransur pulang.

9. Bersalaman dan ucapkan terima kasih

Sebelum berangkat pulang, bersalaman atau berjabat tangan dengan tuan rumah. Juga dikatakan, berjabat tangan mendapat keampunan Allah dalam artikel INI. Bagi kita yang muslim, bersalaman mengikut batas mahram yang telah ditetapkan. Untuk memahami lebih lanjut mengenai hukum berjabat tangan, sila baca artikel INI.

Semoga pesanan ini dapat membantu menjadikan kita tetamu yang lebih baik dari sebelumnya. Selamat berziarah.



Ikhlas,

pesanrenah




Comments

  1. Artikel menarik. Saya pun kadang2 segan nak bawa buah tangan. Takut tuan rumah tk sudi... huhuhuhu..

    ReplyDelete

Post a Comment