TIPS CIPTA KATEGORI AZAM YANG HEBAT

pesanrenah.blogspot.com


Azam dicipta pada setiap awal tahun sebagai panduan dan sasaran untuk menjadi manusia/insan yang lebih baik atau menjadikan kehidupan kita lebih bermakna daripada tahun sebelumnya. Setelah menilai prestasi kejayaan dan kekurangan kita pada tahun lepas, kini adalah masanya untuk mencipta azam dan sasaran di tahun baru.
Jika disenaraikan secara rambang apa yang ingin dicapai atau diperbaiki pada tahun ini, sudah tentu panjang senarainya. Namun, adakah ia merangkumi setiap aspek kehidupan kita? Bagi membantu anda mencipta azam dan sasaran bagi tahun 2019 dengan lebih komprehensif, menyeluruh dan jelas difahami, disini saya kongsikan tips senaraikan azam dan sasaran mengikut kategori. Ini adalah apa yang saya lakukan setiap awal tahun dan mungkin anda juga boleh mencubanya.

Kategori sasaran 2019

Sebelum kita senaraikan segala azam dan sasaran yang hendak dicapai pada tahun ini, apa kata kita mulakan dengan membuat kategori terhadap beberapa askpek dalam kehidupan kita yang cuba untuk kita perbaiki pada tahun ini. Ada pelbagai kategori yang boleh kita cipta bagi menyusun senarai azam kita dengan lebih jelas. Namun berikut merupakan beberapa idea kategori azam yang sering saya gunakan. Saya rasa ia hampir memenuhi segala aspek kehidupan yang penting yang ingin saya baiki setiap tahun.

1. Ibadah
Sebagai seorang muslim, sasaran Ibadah adalah amat penting. Ia merupakan asas kepada segala sasaran yang hendak kita capai. Adalah menjadi tanggungjawab kita agar ibadah kita sering diperbaiki atau dipertingkatkan dari tahun ke tahun.

2. Keluarga
Keluarga merupakan sistem sokongan kita yang utama di dunia ini dan mereka lah yang bersama kita sejak dari mula dan disepanjang perjalanan kehidupan ini. Maka, jadikanlah sasaran di setiap tahun agar kita dapat memberi tumpuan atau memperbaiki hubungan kekeluargaan.

3. Peribadi
Ini merupakan kategori bagi sasaran untuk diri kita sendiri. Dikala kita sibuk dengan hubungan dunia luar dan cuba memperbaiki urusan luar, kita lupa dan alpa tentang kehendak dan keperluan diri sendiri. Carilah beberapa sasaran untuk diri sendiri bagi menghargai diri kita dan memperbaikinya agar menjadi insan yang lebih baik. Sebagai contoh, setiap 3 bulan, saya akan luangkan masa di spa...

4. Kesihatan



Tiada yang lebih penting dari kesihatan. Tanamkan azam di tahun ini untuk menjadi lebih sihat melalui pemakanan yang sihat, gaya hidup yang sihat, minda yang sihat dan positif.

5. Kewangan
Pengurusan kewangan dengan sasaran yang baik akan membantu kita menjalani kehidupan dengan lancar dan selesa. Kita juga dapat melakukan perkara yang kita inginkan dan memberi serta menghulurkan bantuan kepada orang disekeliling kita. 

6. Kerjaya
Bagi yang berkerjaya sudah pasti anda ingin menetapkan sasaran bagi meningkatkan laluan kerjaya anda. Bagi yang surirumah pula, menjadi pengurus rumah juga merupakan satu kerjaya yang penting. Anda perlu meningkatkan kemahiran dan ilmu agar segala urusan harian anda berjalan dengan lebih baik dan prestasi kerja turut meningkat. Manalah tahu, boleh juga naik pangkat... 😉


Azam yang telah disusun mengikut kategori, bolehlah ditampal seperti gambar sebagai peringatan sasaran yang perlu dicapai. Jika anda berminat, boleh muat turun fail di atas secara PERCUMA DISINI 

Kategori azam ini tidak terhad kepada 6 perkara ini sahaja. Anda bebas untuk mencipta kategori lain yang bersesuaian dengan corak kehidupan anda. Jika anda ingin mencuba mencipta sasaran mengikut kategori ini, saya sediakan cetakan PDF Azam 2019 secara PERCUMA untuk anda muat turun DISINI. Semoga ia bermanfaat untuk anda dan segala sasaran dan azam anda di tahun 2019 ini dapat dirancang dengan jelas dan dilaksanakan hingga menjadi kenyataan. Insyaallah.

Ikhlas,

pesanrenah

Comments